Majlis Penyampaian Sijil – Kursus Evangelisasi Peribadi (KEP-2) 2022

Kota Kinabalu Pada 24 Julai 2022, seramai 141 peserta KEP 2 yang terdiri daripada tiga keuskupan iaitu Keuskupan Sandakan, Keuskupan Keningau dan Keuskupan Agung Kota Kinabalu telah menerima Sijil Kursus Evangelisasi peribadi (KEP) Angkatan 2 (Online) serta lulus dengan jayanya. Majlis tersebut telah diadakan di dewan Catholic Archdiocesan Centre Kota Kinabalu yang disempurnakan oleh Uskup Agung Archbishop John Wong. Turut serta dalam majlis tersebut ialah Rev. Fr. Nicholas Stephen – Penasihat Penganjur, Sr Dariah Ajap, Fsic – Pengerusi Penganjur, para AJK Penganjur dan fasilitator KEP 2.

“Sijil yang kamu terima merupakan suatu dokumen yang menunjukkan bahawa kamu telah diperlengkapi dengan ilmu mengenai evangelisasi. Jadi simpanlah Sijil itu dengan baik-baik, hidupilah apa yang telah kamu pelajari, jadilah kabar baik kepada orang lain bukan sahaja dengan perkataan kamu tetapi lebih-lebih lagi melalui tingkah laku kamu, ” merupakan inti ucapan dan kata-kata semangat dari Uskup Agung John Wong dalam majlis itu.

Disamping itu, Bapa Uskup juga menyarankan agar peserta KEP turut melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti yang diadakan di paroki masing-masing seperti menjadi tenaga pengajar di Sekolah Minggu. Ucapan diakhiri syabas dan tahniah kepada Komisi Kateketikal atas usaha yang gigih menganjurkan KEP serta berharap dapat dianjurkan lagi setiap tahun agar lebih ramai umat melibatkan diri mengikuti program ini kelak.

Dalam majlis tersebut, tiga peserta telah dinobatkan sebagai peserta terbaik dalam peperiksaan. Mereka yang dipilih ialah (1). Sr Maria Raani Binti Duanis FSIC dengan markah penuh (2). Juliana Kimin (3). Jenas Bt Basun @Mary Woon

Berikut merupakan kata-kata semangat dan harapan dari salah seorang peserta terbaik KEP 2 – Sr Maria Raani Binti Duanis, FSIC:

Saya sangat bersyukur dan berterima-kasih kerana adanya program pembentukan iman seperti KEP. KEP ini mencabar saya untuk menghidupi nilai-nilai injil dan menghayati pengalaman kasih kristus dalam hidup saya. Saya tidak akan dapat mengikuti KEP online dengan sepenuhnya selama 4 bulan dengan usaha saya sendiri. Saya percaya semua itu adalah dari campurtangan Tuhan dan berkat doa orang-orang disekeliling saya terutama kepada dua orang  pendoa saya iaitu Sr.M. Judith Benedict FSIC & Morris Awit (St. Peter Claver, Ranau). Apa yang saya peroleh dari KEP ini, semuanya adalah untuk kemuliaan Tuhan.  Harapan saya, agar lebih ramai yang akan diteguhkan melalui KEP dan semoga program KEP ini terus maju, bertumbuh dan berbuah.  Bangunlah & Bersaksilah demi Yesus Kristus!!!

KEP SABAH YES YES YES, SAKSI KRISTUS SIAP DIUTUS!! Demikianlah laungan semangat daripada semua perserta menutupi sesi Majlis Penyampaian Sijil pada petang itu. Nantikan KEP 3 yang bakal menyusul pada awal tahun 2023.

Oleh, Aveil Olga, @timkep2sabah

BACA Informasi Singkat: Apa itu KEP?

Scroll to Top