Retret Pengutusan  Kursus Evangelisasi Peribadi (KEP) Angkatan 2 Sabah, “Kristus Pewarta Injil”

Papar –  Kursus Evangelisasi Peribadi (KEP) Angkatan 2 Sabah dengan tema ”Yesuslah Jalan, Kebenaran dan Kehidupan” (Yoh 14:6) telah dilaksanakan selama 4 bulan secara ONLINE dan diakhiri dengan Retret Pengutusan pada 10 hingga 12 Jun 2022 melalui tema “Yesus Pewarta Injil”.  Dengan kata-kata semangat yiel yang tepat sekali, mereka melaungkan “KEP Sabah! Yes! Yes! Yes! Saksi Kristus, Siap Diutus!, sekaligus menyaksikan seramai 141 orang peserta yang datang dari Keuskupan Agung Kota Kinabalu, Keuskupan Keningau, Keuskupan Sandakan dan Keuskupan Agung Kuala Lumpur diutus pada Misa penutup Retret Pengutusan KEP Sabah Angkatan 2 di Pusat Retret FSIC Pace Bene Purak, Papar Sabah.  Misa Pembukaan Retret telah disempurnakan oleh Yang Mulia Uskup Agung John Wong dan dibantu oleh Rev. Fr. Nicholas Stephen serta Fr. Yohanes Suradi.  Uskup Agung John Wong dalam homilinya mengingatkan para peserta bahawa Yesuslah yang telah memanggil mereka untuk datang ke retret tersebut untuk mendengarkan SabdaNya melalui renungan dan sesi-sesi ceramah yang bakal disampaikan.  Justeru, sebagai anak-anak Tuhan maka hubungan peribadi dengan Yesus perlulah dimantapkan agar dapat menjadi pewarta Khabar Gembira Kristus kepada orang lain melalui kesaksian hidup kita sendiri. Uskup Agung John juga mengingatkan para peserta agar peka kepada Sabda Tuhan dan berkata Alkitab adalah Sabda Tuhan tetapi tidak semua Sabda Tuhan itu terdapat dalam Alkitab sebab Sabda Tuhan itu juga hadir melalui peristiwa hidup kita, persekitaran dan orang lain”.

Sepanjang 3 hari retret, ramai yang telah disentuh oleh Tuhan secara peribadi melalui sesi-sesi perkongsian oleh penceramah dari Tim KEP Bogor dan juga sesi penerimaan Karunia-Karunia Roh Kudus. Manakala dalam retret tersebut, para peserta pula berpeluang menerima Sakramen Pertobatan dan sesi kaunseling bagi mereka yang memerlukan.

Misa Pengutusan telah disempurnakan oleh Fr Nicholas Stephen selaku Penasihat Penganjur KEP 2, mewakili Yang Mulia Bapa Uskup Agung Datuk John Wong. Seramai 7 orang tenaga pengajar KEP dari Keuskupan Bogor, Indonesia telah menghadiri Retret Pengutusan KEP Sabah Angkatan 2, iaitu Romo Yohanes Suradi, Yacobus Ngadinun, Anthonius Toni Wahyu, Titus Dwi Untoro, Adrianto  Budiarsa, Petrus Agung dan Hanrykus Kurniawan yang mana mereka telah membimbing dan menyampaikan ceramah yang luar biasa sepanjang retret tersebut.  Kursus Evangelisasi Peribadi ini dianjurkan oleh Komisi Kateketikal Keuskupan Agung Kota Kinabalu Sabah dan telah dilaksanakan secara atas talian selama 4 bulan yang diketuai oleh Pengerusi Penganjur iaitu Sr. Dariah Ajap, FSIC. Setelah semua peserta menamatkan kursus tersebut selama 4 bulan maka empat kriteria kelayakan diambil kira iaitu Kehadiran, Praktikal Kunjungan Rumah, Mengikuti Ujian serta Retret Pengutusan. Diakhir retret tersebut, Pengerusi Penganjur KEP Angkatan ke 2 telah mengumumkan bahawa KEP 3 Sabah akan terus dilaksanakan tahun hadapan iaitu pada tahun 2023 ini. KEP 3 Sabah akan diterajui oleh tim baru selepas pemilihan daripada para peserta. Mereka yang dipilih ialah Fredie Robinson (Kota Kinabalu), Sr. Liza Jamat, FSIC (Keningau), Sr. Martina James, FSIC (Sandakan) dan Donny Yawah (Kuala Lumpur).  Inagurasi/Penyampaian Sijil bagi mereka yang telah diutus akan diadakan di Catholic Archdiocesan Centre, Kota Kinabalu pada jam 3.00 petang bersamaan 24 Julai 2022 dan bakal disempurnakan oleh Yang Mulia Bapa Uskup Agung Datuk John Wong.

Berikut adalah sebahagian dari perkongsian para peserta yang telah berjaya diutus:

“Sepanjang menghadiri KEP-2 ini, cara pandang saya tentang tanggungjawab iman saya terbentuk dan diperkasakan. Perasaan saya tentunya gembira sepanjang pengajaran KEP-2 berlangsung. Namun ada juga masanya saya rasa takut sebab tidak bersedia untuk keluar menginjil dan ada masanya saya rasa bersemangat untuk terus keluar buat Kunjungan Rumah tanpa peduli konsekuansinya. Secara keseluruhan, perasaan saya berkobar-kobar untuk menunaikan tanggungjawab iman saya dan untuk memuliakan NamaNya. Yang paling penting, ianya membantu dalam pembentukan religius saya sekarang ini.“ KL79 Isaac Alfred

“Melalui 10 Bab yang saya pelajari,saya dapat lebih mengenali siapakah itu Yesus lebih mendalam lagi dan apakah erti pelayanan itu sebenarnya. Saya juga disedarkan dengan satu perkataan yang terdapat dalam buku “Misi Evangelisasi” iaitu “Gereja Katolik adalah  raksasa penginjil yang sedang tertidur, Gereja Katolik memiliki tradisi, struktur dan umat, tetapi tidak mempunyai api!” Saat pengutusan juga saya berasa sangat bersyukur kerana diberikan hadiah yang begitu besar bagi saya iaitu sebuah Alkitab yang membawa keselamatan kehidupan kekal kepada jiwa rohani saya dan juga bagi keselamatan jiwa untuk mereka yang akan saya kunjungi, dan seperti Tuhan Yesus berkata “Jangan takut untuk memberitakan Injil, Aku akan sentiasa menyertaimu…” BBKK24Valentina

“ Saya mengalami suatu pengalaman iman yang sungguh luar biasa iaitu ‘PEMBAHARUAN dan PENEGUHAN IMAN’. Dua ‘P’ inilah yang saya alami sepanjang mengikuti KEP-2 dan sekaligus menyedarkan saya bahawa untuk memikul tugas penginjilan, pertama-tama Iman saya harus sentiasa menjalani proses Pembaharuan dan Peneguhan. KEP-2 juga telah membangkitkan kembali semangat “Sukacita Injil” di dalam diri saya sebagai seseorang yang menghidupi panggilan hidup religius…” BBKK19-Sr. M. Venessa

“…banyak persoalan-persoalan saya yang terjawab dalam sesi-sesi ceramah yang disampaikan oleh tenaga pengajar yang hebat-hebat. Saya juga diteguhkan dalam pelayanan dan lebih yakin apabila memberi perkongsian kepada orang lain…” KK32-Lea

“Saya percaya pembentukan iman semasa KEP-2 akan membantu saya untuk melakukan pewartaan Injil dengan lebih teratur dan efektif khususnya dalam menerapkan lima langkah proses evangelisasi…memberi kesedaran betapa pentingnya menjadi saksi Yesus yang benar-benar mengalami Yesus yang hidup dalam kehidupan seorang Katolik.” KK64- Athanasius Jinilis.

Disediakan oleh,

Miss Avail Olga, KK

Tim Penganjur Kursus Evengelisasi Angkatan ke 2, bersama Uskup Agung John Wong dan tim KEP Bogor Indonesia
Upacara Pengutusan disempurnakan oleh Rev. Fr. Nicholas Stephen mewakili Uskup Agung John Wong pada Misa Penutupan Retret.
peserta KEP 2 dalam misa Pengutusan, memegang Lilin dan Alkitab bersiap menjadi saksi Kistus
peserta sedang memuji Tuhan dalam sesi KEP
Scroll to Top